Feb 5, 2010

Intro Camp di UiTM Jengka hanya satu permulaan

Assalamualaikum. Di sini saya ingin menceritakan serba sedikit tentang pengalaman saya ketika berada di kem UiTM Jengka. Pertama sekali, saya ingin melahirkan rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memanjangkan umur saya dan seterusnya dapatlah saya menceritakan kepada anda tentang pengalaman saya ketika menjalani kem. Pengalaman yang dilalui bukanlah semuanya indah-indah belaka. Banyak halangan dan dugaan terpaksa saya hadapi untuk menimba ilmu dan cabaran yang dihadapi memang tersangat mencabar dari segi mental dan fizikal. Bayangkan saya terpaksa melakukan lompat bintang sebanyak 220 kali dan direndam di dalam kolam yang keruh dan dipenuhi pacat pada waktu kebanyakan orang lain sedang bermimpi indah. Bukan setakat itu sahaja, malahan saya terpaksa dikerah sepenuh keringat saya untuk mencapai objektif kem ini. Saya tidak mendapat cukup rehat, tidur, mandi, makan pun terpaksa tergopoh-gapah dan senang cerita saya berasa tidak selesa kerana terpaksa dikongkong sepanjang masa dalam semua perkara. Hanya saya dan tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan kami semua ketika berada di kem.

Namun begitu dari sudut positif pula, saya mendapat banyak ilmu tentang keindahan alam yang dicipta oleh Yang Maha Esa dan saya ingin menyeru kepada anda agar nikmatilah setiap detik yang anda lalui di dalam kehidupan anda kerana hidup hanya sekali. Apabila difikirkan kembali, saya dapat membina disiplin diri yang amat ketat dan semangat bekerjasama yang erat sepanjang berada di kem. Walaupun penat namun ianya sangat berguna kepada diri saya untuk dipraktikkan pada masa depan. Adanya ketika semangat saya telah pudar, akan tetapi nilai kehidupan dan semangat yang saya dapati daripada Bear Grylls dalam rancangan Man vs Wild telah mengembalikan semula tenaga dan kudrat saya untuk meneruskan perjalanan.

Pengalaman 'Nightwalk' benar-benar menggugat keberanian saya. Kemunculan hantu pocong(hantu yang paling saya seram) dan bunyi-bunyian yang menyeramkan membuatkan saya kecut perut. Sudahlah pada ketika itu saya sedang mamai, lepas tu tiba-tiba kena merentasi hutan seorang diri dan dikacau oleh 'hantu-hantu'. Mana tak kecut perut. Nasib baiklah pada masa itu saya membayangkan semangat keberanian John Terry. Dapat jugalah saya menghabiskan aktiviti ini tanpa mendapat sebarang perasaan yang memalukan.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang terlibat terutama sekali kepada pensyarah saya, Encik Mus dan Encik Lut, abang fasi iaitu Encik Iqbal dan Encik Qhadri kerana telah banyak memberi tunjuk ajar sepanjang berada di kem. Sekian.